Rasa mengantuk pada siang hari adalah masalah yang sering dialami oleh ramai orang terutamanya ketika berada di pejabat atau ketika sedang sibuk dengan tugasan harian. Rasa mengantuk ini bukan hanya disebabkan oleh kekurangan tidur, tetapi turut dipengaruhi oleh pelbagai faktor lain yang kadangkala tidak disedari.
Menurut Dr. Stephen Justin Thomas, Presiden Persatuan Perubatan Tingkah Laku Masalah Tidur (Society of Behavioral Sleep Medicine), penting bagi kita untuk memahami bahawa keadaan ini adalah sesuatu yang normal dan boleh terjadi kepada sesiapa sahaja.
Di beberapa buah negara, waktu petang telah menjadi masa yang diutamakan untuk berehat dan ia telah menjadi sebahagian daripada amalan semula jadi masyarakat setempat. Dalam tempoh ini, perniagaan sering kali ditutup sementara, atau ada masa tertentu diperuntukkan untuk melepaskan penat, kata Dr. Thomas.
Namun begitu, ada kalanya kita mungkin tidak ada masa untuk merehatkan mata walau seketika pada siang hari. Berikut adalah penjelasan dari sudut sains mengenai punca rasa mengantuk dan lesu pada waktu siang serta beberapa cara untuk mengatasinya.
Punca rasa mengantuk dan lesu pada waktu siang
Menurut Dr Ian Katznelson, pakar neurologi di Hospital Northwestern Medicine Lake Forest, rasa mengantuk dipercayai dipengaruhi oleh dua faktor iaitu ritma sirkadian (Circadian Rhythm) dan tekanan tidur.
Ritma sirkadian merujuk kepada kitaran 24 jam yang merupakan sebahagian daripada jam dalaman badan. Ia mengawal pelbagai fungsi dan proses penting dalam badan. Salah satu ritma sirkadian yang paling signifikan dan dikenali adalah kitaran tidur-bangun. Apabila ritma sirkadian ini terganggu, ia boleh menyebabkan rasa keletihan berterusan sepanjang hari serta mengundang rasa mengantuk pada waktu siang.
Manakala tekanan tidur merujuk kepada keperluan tidur yang semakin bertambah apabila semakin lama kita berjaga.
Peranan makanan
Menurut Sai Krupa Das, seorang saintis kanan di Universiti Tufts yang pakar dalam metabolisme tenaga, apa sahaja yang anda makan tetap boleh menyebabkan rasa mengantuk pada siang hari. Walau bagaimanapun, makanan manis dan hidangan berat yang mengandungi karbohidrat yang diproses seperti roti putih atau pasta cenderung membuatkan anda berasa lebih mengantuk dan lesu.
Bagi mengelakkan rasa mengantuk dan lesu pada waktu siang, anda disarankan untuk menggantikan sajian sarapan seperti donat dan kopi manis dengan alternatif yang lebih sihat seperti telur dan bijirin. Ini kerana, karbohidrat kompleks memerlukan masa yang lebih lama untuk dihadam, sekaligus mengurangkan kemungkinan berlakunya lonjakan gula yang boleh menyebabkan mengantuk dan lesu.
Cara untuk mengatasinya
1. Tidur sekejap
Cara terbaik untuk mengurangkan rasa mengantuk adalah dengan tidur sekejap. Sekiranya anda tidur sekejap, pastikan ia tidak melebihi 20 minit. Sekiranya tidak, anda mungkin bangun dengan rasa pening atau sukar tidur pada sebalah malam pula.
2. Lakukan aktiviti fizikal/senaman ringan
Apabila anda merasa mengantuk, cuba lakukan aktiviti fizikal atau senaman ringan. Kajian menunjukkan bahawa aktiviti fizikal bukan sahaja dapat meningkatkan tenaga, tetapi juga membantu memperbaiki keupayaan untuk menjadi lebih fokus.
3. Utamakan tugas yang mudah
Menurut Ron Goetzel, pengarah Institute for Health and Productivity Studies di Sekolah Kesihatan Awam Johns Hopkins Bloomberg, sekiranya anda merasa mengantuk ketika sedang melakukan tugasan, pertimbangkan untuk melakukan sesuatu yang tidak memerlukan tumpuan yang tinggi. Antara tugas yang boleh dilakukan termasuk kerja-kerja yang biasa anda lakukan (routine).
Semoga perkongsian kami ini memberi ilmu baru buat anda.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com untuk lebih banyak peluang pekerjaan!
