Seorang pengurus sumber manusia (HR) di sebuah syarikat teknologi terkemuka di Shanghai, China dijatuhi hukuman penjara setelah terbukti menipu syarikatnya sebanyak AS$2.2 juta (lebih kurang RM9.7 juta) dengan dengan ‘mencipta’ 22 pekerja palsu dan mengutip cek gaji mereka.
Kes ini telah didedahkan dalam “Kertas Putih mengenai Pendakwaan Jenayah Berkaitan Tugas oleh Kakitangan Syarikat dan Perusahaan di Daerah Minhang”, yang diterbitkan oleh Pejabat Pendakwa Raya Daerah Minhang, Shanghai.
Difahamkan, tertuduh mula bekerja di jabatan sumber manusia syarikat itu sejak 2014 dan bertanggungjawab menguruskan pengambilan pekerja serta pembayaran gaji.
Tertuduh menyedari kelemahan dalam sistem syarikat di mana semua urusan pengambilan dan pemberhentian pekerja hanya memerlukan kelulusannya, tanpa sebarang semakan lanjut.
Menyedari peluang ini, tertuduh ‘mencipta’ 22 pekerja palsu, serta membuka beberapa akaun bank dan menghubungkannya dengan pembayaran gaji pekerja rekaan tersebut.
Selama lapan tahun, tertuduh mengaut gaji pekerja palsu ini tanpa disedari sesiapa, sehinggalah kecurigaannya terbongkar akibat kehadiran “Xiao Sun” (pekerja rekaan) yang sebenarnya tidak wujud.
Setelah disoal siasat, tertuduh akhirnya mengakui telah mencuri kira-kira 16 juta yuan (sekitar RM9.7 juta) daripada syarikat.
Namun begitu, beliau hanya mampu membayar balik 1.1 juta yuan (sekitar RM673 ribu), manakala keluarganya turut membantu melangsaikan 1.2 juta yuan (sekitar RM 735 ribu).
Jumlah yang dibayar kembali itu masih jauh lebih kecil berbanding wang yang telah dicurinya sepanjang lapan tahun tersebut.
Akhirnya, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun 2 bulan ke atasnya. Selain itu, dia turut dikenakan hukuman penafian hak politik selama setahun dan denda atas kesalahan pecah amanah yang dilakukan.
Artikel berkaitan: Pekerja Bank Di Perak Dipecat Selepas Lapor Kes Gangguan Seksual
Sumber: Oddity Central
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan.
