6 Kemahiran yang Perlu Ada Untuk Kekal Relevan Dalam Dunia Pekerjaan 

6 Kemahiran yang Perlu Ada untuk Kekal Relevan dalam Dunia Pekerjaan 

Posted by

Dunia pekerjaan hari ini semakin mencabar dengan pertambahan jumlah pencari kerja dan graduan, serta perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI). Dalam persekitaran yang semakin kompetitif ini, penting untuk anda pastikan diri kekal relevan. Salah satu caranya ialah dengan memiliki sekurang-kurangnya enam kemahiran/skil utama yang diperlukan dalam pasaran kerja masa kini.

1. Kemahiran literasi digital

Ia bukan sekadar tahu cara mencari maklumat di Google. Anda perlu mampu menggunakan dan mengemudi pelbagai alat AI, papan pemuka projek (project dashboards), serta platform digital dengan yakin dan berkesan. Keupayaan ini penting untuk memastikan kerja dapat dilakukan dengan lebih pantas, tersusun dan relevan dengan keperluan dunia pekerjaan moden.

2. Daya pemikiran kreatif dan kritis

Cabaran dalam dunia pekerjaan akan sentiasa wujud, tanpa mengira bidang kerjaya yang diceburi. Oleh itu, keupayaan untuk menangani masalah secara kreatif dan kritis amat penting apabila berdepan dengan pelbagai kekangan. Cara berfikir yang matang mencerminkan kebolehan seseorang untuk terus bertahan dan menyesuaikan diri dalam apa jua situasi.

3. Kemahiran komunikasi

Kemahiran komunikasi amat penting dalam era media sosial dan kecerdasan buatan (AI). Apabila banyak urusan kini bergantung kepada platform digital dan AI, tidak dinafikan semakin ramai yang kurang mahir berkomunikasi secara bersemuka dengan manusia sebenar (real people) dalam kehidupan harian. 

Oleh itu, pastikan anda sentiasa tingkatkan kemahiran komunikasi dengan lebih banyak bergaul dan berinteraksi bersama manusia sebenar dalam kehidupan seharian, dan bukannya hanya bergantung kepada komunikasi melalui skrin, media sosial atau teknologi semata-mata.

4. Kecerdasan emosi

Dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar, memiliki emosi dan mental yang kuat amatlah penting. Jika seseorang bekerja semata-mata demi content atau wang, tanpa tujuan dan kefahaman yang jelas, besar kemungkinan mereka tidak akan bertahan lama. Oleh itu, pastikan anda mampu mengawal, memahami dan mengurus emosi diri sendiri, di samping mengenali serta menghormati emosi orang lain, terutamanya dalam interaksi dan persekitaran sosial mahupun pekerjaan.

5. Pandai menyesuaikan diri

Ramai anak muda kini terlalu bergantung atau “manja”, sehingga apabila dihadapkan dengan tugasan yang mencabar, mereka cepat menganggapnya sebagai bentuk buli di tempat kerja. Oleh itu, pastikan anda bijak menyesuaikan diri di mana sahaja anda bekerja. 

Patuhilah peraturan syarikat dan jangan hanya mengikut kehendak sendiri. Walaupun mengambil masa untuk membiasakan diri, sikap terbuka dan mudah bergaul akan membantu anda lebih cekap membawa diri dan menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi pekerjaan.

6. Sentiasa ingin belajar

Walaupun kadang-kadang tiada tugasan di tempat kerja, pastikan anda sentiasa mempunyai semangat untuk belajar perkara baharu. Walaupun majikan mungkin tidak memberikan perhatian kepada anda, anda masih boleh belajar secara sendiri, sama ada melalui kursus luar, penyelidikan (research) sendiri, bacaan dalam talian, mahupun buku. 

Sikap sentiasa ingin belajar akan memperkukuh perkembangan kerjaya anda. Dengan industri dan cara kerja yang sentiasa berubah, kemampuan untuk terus menimba ilmu menunjukkan minat dan komitmen anda terhadap pekerjaan. Pendekatan sebegini bukan sahaja membantu anda berkembang, malah meletakkan anda selangkah di hadapan dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat anda pada masa akan datang. 

Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan.   

Sumber: Talent Labs

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *