Ciptaan dari Jepun telah memberikan impak yang besar dalam pelbagai aspek kehidupan moden daripada rutin harian sehinggalah kepada dunia hiburan dan kemajuan teknologi global. Inovasi seperti mi segera yang diperkenalkan pada tahun 1958, mesin karaoke pada tahun 1971, serta Sony Walkman bukan sahaja memudahkan kehidupan, malah turut mengubah cara manusia berinteraksi, bekerja dan berhibur.
Keunikan ciptaan Jepun terletak pada gabungan kreativiti, kecekapan dan kepekaan terhadap keperluan pengguna, menjadikannya relevan merentas generasi dan sempadan negara. Banyak daripada inovasi ini bermula sebagai idea ringkas, namun akhirnya berkembang menjadi fenomena global yang memberi kesan mendalam kepada masyarakat dunia.
Dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan tujuh ciptaan Jepun yang bukan sahaja mencipta sejarah, malah berjaya mengubah dunia seperti yang kita kenali hari ini.
1. Periuk nasi elektronik

Pada penghujung tahun 1940-an, Mitsubishi Electric Corporation telah mencipta periuk nasi elektrik pertama di dunia dengan menggunakan periuk yang dilengkapi gegelung pemanas. Namun begitu, ciptaan awal ini kurang praktikal kerana pengguna masih perlu mengawasi proses memasak.
Selepas itu, Matsushita Electric turut memperkenalkan produk yang hampir serupa, manakala Sony menghasilkan tiub nasi elektronik. Walau bagaimanapun, kedua-dua inovasi tersebut tidak mendapat sambutan dan dianggap kurang berjaya.
Perkembangan penting berlaku apabila Yoshitada Minami yang berkait rapat dengan Toshiba Corporation berjaya menambah baik rekaan sedia ada. Beliau menghasilkan periuk nasi elektrik pertama yang benar-benar praktikal, mampu memasak nasi secara automatik tanpa memerlukan pemantauan berterusan.

Inovasi ini menggunakan reka bentuk tiga ruang dengan lapisan udara sebagai penebat haba, sekali gus memastikan nasi dimasak dengan sempurna. Pada Disember 1956, Toshiba Corporation melancarkan periuk nasi automatik komersial pertama di pasaran, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam teknologi peralatan dapur.
2. Kalkulator elektronik
Kalkulator merupakan peranti yang sangat penting dalam melakukan pengiraan, dan kebanyakan pelajar menggunakannya khususnya dalam subjek Matematik. Syarikat Jepun Casio, yang ditubuhkan pada tahun 1946 dan beribu pejabat di Shibuya, Jepun, telah mencipta kalkulator elektronik pertama di dunia.

Kalkulator tersebut dikenali sebagai Casio 14-A dan dilancarkan pada tahun 1957. Peranti ini telah membawa revolusi besar dalam bidang pengiraan kerana menggunakan 342 relay elektrik serta mampu melaksanakan operasi tambah, tolak, darab, dan bahagi sehingga 14 digit.

Lapan tahun kemudian, pada September 1965, Casio memperkenalkan pula kalkulator elektronik pertama yang dilengkapi fungsi memori, iaitu Casio 001. Setahun selepas itu, produk ini mula dieksport ke Amerika Syarikat dan Eropah, sekali gus memperluaskan pengaruhnya di peringkat antarabangsa.
3. Mi segera

Mi segera, atau ramen segera, pertama kali dihasilkan di Jepun oleh Momofuku Ando. Beliau merupakan pengasas syarikat makanan Nissin Foods, yang ditubuhkan pada tahun 1948 dan beribu pejabat di Osaka, Jepun.
Syarikat ini mencipta sejarah apabila memperkenalkan mi segera pertama di dunia, iaitu Chikin Ramen pada tahun 1958. Kemudian, pada tahun 1971, Nissin sekali lagi melakukan inovasi dengan melancarkan Cup Noodles, iaitu mi segera dalam cawan pertama di dunia yang lebih praktikal dan mudah disediakan.
4. Mesin karaoke
Perkataan karaoke berasal daripada gabungan dua perkataan Jepun, iaitu “kara” daripada karappo yang bermaksud kosong, dan “oke” daripada okesutura atau orkestra.

Mesin karaoke pertama di dunia telah dicipta oleh seorang pemuzik Jepun, Daisuke Inoue, di Kobe, Jepun pada tahun 1971. Namun begitu, beliau tidak mempatenkan ciptaan tersebut, menyebabkan beliau tidak memperoleh keuntungan daripadanya.
Walaupun begitu, Daisuke terus terlibat dalam industri yang berkembang hasil daripada karaoke, termasuk menghasilkan dan mempatenkan inovasi seperti sistem berkaitan mesin karaoke. Pada tahun 1999, beliau telah dinamakan sebagai antara individu Asia paling berpengaruh abad ini oleh majalah Time.
Seterusnya, pada tahun 2004, beliau dijemput ke Universiti Harvard dan menerima anugerah Ig Nobel Keamanan sebagai pengiktirafan terhadap ciptaan mesin karaoke. Sementara itu, mesin karaoke komersial pertama pula dikeluarkan oleh syarikat Jepun, Clarion, memandangkan ciptaan asal tersebut tidak dipatenkan.
5. Walkman

Walkman ialah peranti yang digunakan untuk memainkan muzik daripada kaset. Idea awal penghasilannya datang daripada pengasas bersama Sony, Masaru Ibuka. Peranti ini kemudiannya direalisasikan buat kali pertama oleh jurutera audio Nobutoshi Kihara dan Kozo Ohsone pada tahun 1979.

Masaru Ibuka merupakan seorang peminat muzik opera dan sering mendengarnya ketika menaiki pesawat. Namun, bagi beliau, pemain mudah alih Sony TC-D5 yang wujud pada ketika itu kurang praktikal kerana bersaiz besar seperti komputer riba, seberat 2.45 kilogram, serta terlalu mahal untuk digunakan secara meluas.
Bermula daripada situ, mereka mula membangunkan pemain muzik mudah alih yang lebih ringan, praktikal dan mampu dimiliki oleh orang ramai.
6. DVD

Mungkin generasi hari ini tidak sempat merasai penggunaan cakera ini. Namun suatu ketika dahulu, DVD merupakan antara medium hiburan yang sangat penting. Jika ingin menonton filem bersama keluarga di rumah, DVD sering menjadi pilihan utama.
DVD, iaitu cakera berketumpatan tinggi (high-density CD), berkembang daripada teknologi CD yang mula diperkenalkan pada tahun 1993. Ia bukanlah ciptaan individu tertentu, sebaliknya hasil kerjasama beberapa syarikat besar dalam industri teknologi. Pada peringkat awal, DVD dihasilkan dalam dua format yang saling bersaing, iaitu MMCD dan SD.
Format MMCD diperkenalkan oleh Sony dan Philips, manakala format SD pula dibangunkan oleh Toshiba, Warner dan Matsushita.
7. Telefon berkamera

Telefon berkamera pertama di dunia diperkenalkan pada tahun 1999 oleh Kyocera Corporation, sebuah syarikat Jepun yang berpangkalan di Kyoto. Model tersebut dikenali sebagai Kyocera VP-210 dan dilancarkan pada Mei 1999.
Telefon seberat 155 gram ini mampu mengambil sehingga 20 keping gambar, satu pencapaian yang sangat inovatif pada zamannya. Sebagai telefon berkamera pertama, Kyocera VP-210 dijual pada harga sekitar RM1,260 ketika itu, sekali gus menandakan permulaan era baharu dalam dunia komunikasi dan fotografi mudah alih.
Semoga perkongsian ini memberi ilmu baru buat anda.
Artikel berkaitan: Pakar Jepun Dedah Kenapa Kucing Tak Habiskan Makanan
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan.
