Anda hanya perlukan masa lebih kurang 10 minit sahaja untuk mengubah hari yang buruk ke arah yang lebih baik dan positif. Tidak kira walau di mana anda berada dan tidak kira apa jua cabaran yang anda hadapi, pengamalan sudut pandangan yang positif serta helah 10 minit ini dapat membantu mengubahnya. Berikut merupakan 10 cara ceriakan hari anda dalam masa 10 minit.
Rencana Hari Anda
Bagi mengekalkan tahap produktiviti untuk jadual harian, lihat kembali kalendar atau jurnal anda. Jika terdapat sebarang penindihan jadual kerja yang menyebabkan anda hilang fokus, rencana kembali jadual anda dan pastikan timbunan kerja-kerja yang penting diselesaikan terlebih dahulu bagi mengelakkan anda daripada berasa tertekan dalam menghadapi agenda anda yang selebihnya.
Keluar Mengambil Angin
Pelbagai kajian berpendapat bahawa dengan mengambil angin di luar pejabat selama beberapa minit dapat kembalikan tenaga serta kekuatan mental kita. Seperti semua sedia maklum, keletihan mental menjadi punca seseorang mengalami gangguan emosi, lalu mengakibatkan jadual kerja mereka kacau-bilau. Kami sarankan tempat-tempat yang menghijau seperti taman atau tasik untuk anda tenangkan fikiran buat sementara waktu.
Kekal Hidrat
Anda pasti tertanya mengapakah kekal hidrat termasuk dalam 10 cara ceriakan hari anda dalam masa 10 minit ini. Minum air dengan secukupnya seperti yang disarankan oleh pakar kesihatan dapat meningkatkan tahap oksigen dalam sistem badan kita, justeru membantu meningkatkan tahap produktiviti mental dan fizikal kita. Jika anda berasa tertekan semasa bekerja, adalah baik untuk anda berehat sebentar dan minum air dengan secukupnya.
Berborak Kecil Baik Untuk Anda
Pernahkah terlintas di fikiran bahawa terdapat satu kajian yang mengatakan berborak kecil dapat membantu kita menjalankan tugas dengan lebih efektif? Mungkin terdapat segelintir yang tidak sependapat dengan cara ini, tetapi tidak salah untuk mencuba bukan? Alihkan perhatian anda buat sementara waktu daripada perkara yang membebankan dengan berborak kecil bersama teman anda!
Tetapkan Semula Minda
Antara cara-cara anda boleh menetapkan semula minda anda adalah dengan cara meluangkan masa sendirian semasa waktu rehat makan tengah hari di pejabat, atau pilih untuk bermeditasi melalui pelbagai jenis aplikasi yang tersedia di telefon pintar anda. Membenarkan minda kita untuk berehat selama 10 minit dapat membantu kita menjadi lebih produktif sewaktu bekerja.
Tingkatkan Hormon Dopamine
Dopamine merupakan salah satu daripada pelbagai jenis kimia yang terdapat di sistem otak kita yang bertanggungjawab dalam menghasilkan perasaan seronok atau bahagia dalam minda seseorang. Justeru itu, anda disaran untuk tampil dengan sebarang jenis aktiviti yang anda minat bagi mengisi minda anda dengan hormon “gembira” ini. Semoga dengan cara tersebut dapat ceriakan hari anda walau di mana jua anda berada.
Belajar Sesuatu Yang Baru
Antara 10 cara ceriakan hari anda dalam masa 10 minit ini termasuk dengan mempelajari sesuatu yang baru. Pembelajaran berterusan ini bukan sahaja dapat menambahkan ilmu pengetahuan kita, tetapi ianya turut dapat melatih minda kita untuk menjadi lebih kreatif. Ingin belajar bahasa asing? Atau ingin menambahkan ilmu tentang fotografi? Apa jua perkara yang anda hendak belajar, rebutlah peluang untuk belajar sesuatu yang baru untuk kegunaan masa depan anda!
Tanam Tabiat Membaca
Luangkan masa selama 10 minit dengan membaca sesuatu yang anda gemari bagi meningkatkan tahap kreativiti anda. Anda boleh mula membaca dari keratan artikel yang anda langgani atau bait-bait puisi kegemaran anda. Cuba hindari daripada membaca berita kerana ianya tidak semestinya mendatangkan mood yang positif, jadi cuba naikkan semangat anda dengan membaca sesuatu yang menarik atau artikel yang boleh mengajar anda sesuatu yang luar dari bidang anda.
Ambil Gambar
Antara 10 cara ceriakan hari anda dalam masa 10 minit adalah dengan mengambil gambar! Terdapat kajian baru mengatakan bahawa dengan mengambil dan memuat naik gambar di media sosial dalam sehari dapat membantu meningkatkan kesejahteraan dan kebahagiaan seseorang. Kini anda mempunyai alasan kukuh untuk mengambil gambar sebanyak yang mungkin untuk dimuat naik dalam media sosial.
Penulisan Jurnal
Anda hanya perlukan lebih kurang 5 minit penulisan jurnal untuk membantu anda lebih fokus dan bersedia untuk hadapi cabaran yang menanti dalam jadual kerja serta dapat berkomunikasi dengan baik terhadap rakan sekerja anda. Penulisan jurnal turut dapat permudahkan pengawalan emosi anda untuk bekerja secara tenang serta produktif.
Cara apakah yang anda gunakan untuk menceriakan hari anda? Kongsikan dengan kami di ruangan komen di bawah. Jangan lupa juga untuk ikuti Jobstore.com untuk peluang pekerjaan baru, tips temuduga dan pelbagai lagi!
Nurin Eznieka is a digital content writer who writes about lifestyle, tips and tricks, including career-related contents both in Malay and English languages. Nurin is a foodie who enjoys food hunting and cafe hopping during her free time.
Reach me at: nurin@jobstore.com