Bulan Disember datang lagi dan tiba masanya untuk anda merancang percutian akhir tahun bersama orang tersayang atau percutian solo untuk yang sukakan privasi! Merancang percutian ke destinasi impian sama ada di dalam atau luar negara memang menyeronokkan, tetapi keselamatan anda ketika berada di hotel atau kawasan sekitarnya juga amatlah perlu dititik-beratkan. Oleh itu, jom kita rujuk 10 tips keselamatan hotel yang tidak patut dihiraukan.
Bukan sahaja di Malaysia, tetapi pelbagai kes pecah masuk hotel telah dilaporkan di seluruh negara. Walau anda mempunyai ‘black belt’ sekali pun, ianya tetap tidak menjaminkan keselamatan anda kerana orang tidak berniat baik ini ada sahaja akal mereka untuk mengucar-kacirkan percutian. Setuju tak? Antara tips keselamatan hotel termasuk:
1. Selidik hotel pilihan anda
Kini semua jenis maklumat boleh diselidik dalam talian, termasuklah maklumat tentang hotel pilihan anda. Dengan adanya laman-laman tempahan hotel dalam talian seperti Booking.com, Trivago dan sebagainya, menyemak ulasan dan komen-komen mengenai hotel pilihan anda ternyata amat memudahkan. Melalui cara tersebut anda boleh menapis tempat penginapan anda sebelum membuat tempahan bilik dan memulakan perjalanan.
2. Pilih tingkat bilik yang elok
Ianya mungkin nampak remeh, tetapi memilih tingkat bilik yang elok adalah penting kerana dapat membantu mengelakkan perkara-perkara tidak diingini daripada berlaku. Elakkan daripada menempah bilik di tingkat paling bawah dan tingkat paling atas serta kedudukan bilik di hujung sekali.
3. Periksa bilik dan waspada dengan kamera tersembunyi
Sebaik sahaja anda dapatkan kunci bilik anda, jangan terus buka dahulu pintu bilik tersebut. Periksa dahulu bilik anda dari cermin pintu yang kecil itu kerana takut-takut terdapat orang asing menunggu kehadiran anda. Jikalau semuanya selamat, masuk ke dalam bilik, biarkan lampu ditutup dan periksa seluruh bilik untuk kamera tersembunyi. Pastikan anda periksa di ruang bilik mandi serta di dalam almari juga.
4. Sentiasa kunci pintu bilik dan bawa sendal pintu
Kadang-kala mengunci pintu bilik sahaja tidak mencukupi untuk menjamin keselamatan anda. Sebagai langkah berjaga-jaga, bawa sendal pintu dari rumah atau anda boleh dapatkannya di mana-mana pasaraya berdekatan. Sendal pintu berkemungkinan tinggi dapat menyelamatkan nyawa anda ketika kecemasan kerana ianya dapat membantu melengahkan masa.
5. Gunakan parkir valet jika perlu
Tidak semua orang mampu atau mahu untuk melabur berpuluh atau beratus ringgit hanya untuk parkir valet. Tetapi ianya membantu sekiranya anda sering melancong secara solo terutamanya buat para wanita. Tidak perlulah lagi anda pergi ke kawasan parkir kereta yang kadang-kalanya terletak jauh dari lobi hotel seorang diri tanpa teman.
6. Gunakan taktik filem ‘Home Alone’
Pernahkah anda menonton filem ‘Home Alone’ di mana seorang kanak-kanak telah ditinggalkan bersendirian di rumah berikutan kedua ibu bapanya mempunyai urusan di luar? Semasa bersendirian, kanak-kanak bernama Kevin tersebut sentiasa membuatkan suasana di dalam rumah meriah seolah-olah sedang mengadakan jamuan makan. Anda boleh menggunakan cara tersebut seperti membiarkan lampu bilik atau TV terpasang semasa bersendirian di dalam bilik hotel atau ketika anda hendak keluar.
7. Jaga barang berharga anda
Antara tips keselamatan hotel yang lain adalah jangan sesekali meninggalkan barang berharga anda merata-rata apabila anda hendak keluar dari bilik hotel. Jangan lupa juga untuk letakkan ‘Do Not Disturb’ di pintu supaya pengemas bilik tidak memasuki bilik anda tanpa izin. Sekiranya anda terpaksa juga meninggalkan barang berharga anda, anda boleh letak di dalam peti simpanan yang pihak hotel sediakan dengan menggunakan kata laluan yang anda sendiri tetapkan.
8. Sentiasa awasi bagasi anda
Apabila berasa penat ekoran dari jarak perjalanan yang jauh, kadang-kala kita akan terlepas pandang dengan urusan bagasi kita semasa sedang sibuk daftar masuk di lobi. Dalam kepala hanya memikirkan soal katil yang empuk sahaja. Ianya penting untuk anda sentiasa awasi bagasi anda dan kalau boleh, pastikan bagasi anda berada dekat dengan anda pada setiap masa. Lebih selamat jika anda letakkan bagasi di antara anda dan kaunter penyambut tetamu tersebut.
9. Mendapatkan nombor bilik anda
Perkara ini tidak selalu dipraktikkan oleh para penyambut tetamu, tetapi ianya adalah antara tips keselamatan hotel yang penting. Anda boleh meminta mereka menulis nombor bilik penginapan anda atau lihat sahaja kad yang diberi mereka di mana nombor bilik akan dinyatakan di situ. Ianya sebagai langkah berjaga-jaga terhadap orang yang mungkin mendengar perbualan anda dan penyambut tetamu.
10. Ambil informasi hotel
Semasa daftar masuk, dapatkan sebanyak mungkin informasi hotel di kaunter penyambut tetamu. Atau anda boleh ambil kad hotel di mana nombor telefon, e-mel, alamat dan informasi hotel yang selainnya boleh didapati sebagai rujukan anda. Informasi hotel tersebut boleh digunakan sewaktu kecemasan.
Pelancong asing sering menjadi sasaran mudah. Oleh itu, tiada salahnya jika anda ingin mengambil langkah berjaga-jaga semasa berada di hotel, terutamanya apabila anda bercuti di luar negara. Seronok, seronok juga, tetapi keselamatan diri haruslah diutamakan. Selamat bercuti! Layari Jobstore.com untuk informasi kerjaya, peluang pekerjaan baru dan banyak lagi.
Nurin Eznieka is a digital content writer who writes about lifestyle, tips and tricks, including career-related contents both in Malay and English languages. Nurin is a foodie who enjoys food hunting and cafe hopping during her free time.
Reach me at: nurin@jobstore.com