Covid-19 : Majikan Malaysia yang terjejas tawar cuti tanpa gaji

Covid-19 : Majikan Malaysia yang terjejas tawar cuti tanpa gaji

Posted by

Gelombang kedua penularan wabak Covid-19 menyebabkan beberapa majikan di negara ini terpaksa menawarkan cuti tanpa gaji kepada kakitangan mereka.

Tawaran secara sukarela itu dilaksanakan dua syarikat penerbangan negara iaitu Malaysia Aviation Group (MAG) dan Malindo Air susulan permintaan perkhidmatan yang terjejas akibat pandemik tersebut.

MAG dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam berkata, seramai 13,000 kakitangannya diberi pilihan untuk mengambil cuti selama lima hari tanpa gaji dalam tempoh sebulan sekurang-kurangnya tiga bulan atau satu hingga tiga bulan.

Langkah itu dibuat selang tiga hari selepas pengumuman pengurangan 10 peratus gaji serta elaun pengurusan kanan semua syarikat di bawahnya selama tiga bulan bermula bulan ini dan ia mungkin akan diteruskan jika aliran kewangan kumpulan masih terkesan.

Manakala Malindo Air pula mengarahkan kakitangannya mengambil cuti dua minggu tanpa gaji dan potongan gaji 50 peratus sebagai langkah untuk menghadapi kekurangan pendapatan.

Anak syarikat Lion Air Group yang berpangkalan di Indonesia itu turut menggantung penerbangan serta merayu pembekal untuk menangguhkan bayaran.

Bagi Kumpulan AirAsia, potongan gaji yang bakal dilaksanakan nanti dijamin tidak akan memberi kesan langsung atau kesan minimum kepada semua pekerja terutama dalam kalangan yang berpendapatan rendah.

Ancaman wabak Covid-19 bukan sahaja menyebabkan syarikat penerbangan serantau mengalami kelembapan permintaan perjalanan udara malah, turut mengganggu pertumbuhan ekonomi global.

Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus dalam sidang akhbar pada Rabu berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku pertama tahun ini dijangka terjejas oleh Covid-19 berikutan kemerosotan kemasukan pelancong asing di samping perbelanjaan  terhadap hotel, runcit, pengangkutan dan restoran yang rendah.

Hakikatnya, tidak mustahil langkah cuti tanpa gaji yang ketika ini dilaksanakan syarikat-syarikat penerbangan negara akan berjangkit  kepada organisasi lain pula berikutan kerugian perniagaan yang dialami.

Oleh itu, semua pihak perlu bersedia dengan segala kemungkinan termasuk risiko pemberhentian pekerjaan sekiranya Covid-19 masih belum pulih. Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah. Ikuti Jobstore.com untuk  pelbagai peluang pekerjaan di Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *