6 Tips Mudah Atasi Stres Semasa PKP

6 Tips Mudah Atasi Stres Semasa PKP

Posted by

Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia sejak 18 Mac lalu menyebabkan rutin sebahagian besar rakyat negara ini berubah 360 darjah. Dalam sekelip mata, pergerakan diterhadkan hanya di dalam rumah dan tiada sebarang aktiviti luar dibenarkan.

Keadaan ini tentunya menimbulkan keresahan kepada kebanyakan penduduk Malaysia terutama bagi mereka yang tidak pernah melalui situasi ‘dikurung’ di kediaman sendiri. 

Berikut kami kongsikan 6 tips mudah dan berkesan untuk mengurangkan kegelisahan dan tekanan anda dalam mengharungi tempoh PKP yang kini dilanjutkan ke dua minggu lagi.

Kekalkan rutin harian

Larangan pergerakan bukan alasan untuk anda mengubah rutin harian masing-masing. Bagi yang bekerja dari rumah mahu pun bercuti, kekalkan rutin bangun pagi, bersarapan tepat pada masanya seperti di pejabat, bersenam dan beristirehat seperti yang diamalkan sebelum ini.  Jadi, rancang hari anda dan penuhkan dengan pelbagai aktiviti berbeza.

 

Elak maklumat berlebihan

Ramai akan berkongsi maklumat-maklumat tidak sahih bagi menimbulkan rasa panik dalam masyarakat. Abaikan berita-berita tular di media sosial atau kumpulan WhatsApp. Sebarang pengesahan rujuk pada portal rasmi pihak kementerian terlibat atau maklumat dalam media arus perdana.

 

 

Kekal aktif

Perbanyakkan aktiviti fizikal dan pergerakan di dalam rumah. Langkah ini akan meningkatkan hormon gembira dalam badan supaya anda sentiasa kelihatan ceria dan bahagia sekali gus dapat mengatasi stres. Jom mula bersenam mulai esok!

 

Nikmati masa berkualiti bersama keluarga

Kesibukan kerja mungkin menyebabkan anda sering terlepas peluang bersama keluarga jadi manfaatkan tempoh PKP untuk melakukan aktiviti berkualiti dengan mereka. Anda boleh membantu anak-anak mengulangkaji pelajaran mahu pun memasak dan makan sekeluarga. Bagi yang tinggal bersendirian, sentiasa berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan anda.

 

 

Mulakan hobi baharu

Mungkin ini masa yang tepat untuk anda memulakan hobi atau mempelajari skil baharu. Pelbagai tutorial memasak, menjahit mahu pun bermain alat muzik dapat dipelajari secara dalam talian.

 

Tinggalkan amalan gaya hidup tidak sihat

Di samping mempelajari skil baharu, tempoh ini juga boleh digunakan untuk meninggalkan aktiviti gaya hidup tidak sihat yang menjadi amalan anda misalnya menghentikan atau mengurangkan tabiat merokok serta ketagihan kepada media sosial. Tetapkan sasaran dan berusaha untuk mencapainya.

 

Kawal tekanan anda dan belajar menyesuaikan diri dengan segala perubahan yang berlaku akibat penularan wabak COVID-19. Situasi ini bukan hanya berlaku di  Malaysia bahkan, merupakan krisis global yang turut dialami penduduk di 171 negara. Jika ada sebarang pendapat kongsikan di ruangan komen di bawah. Ikuti Jobstore.com untuk pelbagai panduan pekerjaan di Malaysia dan informasi terkini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *