Malaysia Buka Semula Aktiviti Ekonomi, Perniagaan Hari Ini

Malaysia Buka Semula Aktiviti Ekonomi, Perniagaan Hari Ini

Posted by
Selepas 48 hari ditutup, hari ini hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan di Malaysia dibenarkan kembali beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Pembukaan semula sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial itu selaras Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan kerajaan bermula hari ini.

Perkembangan tersebut turut menyaksikan restoran dibenarkan beroperasi dengan mematuhi SOP perniagaan iaitu penjarakan sosial di samping mencatat nama, nombor telefon pelanggan dan tarikh kehadiran mereka.

Bagaimanapun, terdapat beberapa kategori industri dan perniagaan yang masih tidak diizinkan beroperasi terutama yang melibatkan perhimpunan ramai dan mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan wabak.

Antaranya panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan serta pameran.

Sehubungan itu, dalam usaha untuk mengawal penularan COVID-19, kerajaan mencadangkan semua majikan agar melaksanakan waktu bekerja anjal bagi mengelakkan kesesakan di stesen pengangkutan awam dan dalam kenderaan awam.

Majikan juga boleh memberi sedikit kelonggaran kepada pasangan suami isteri yang bekerja untuk datang ke pejabat secara selang-seli atau ‘every alternate day’, sekali gus membantu menyelesaikan masalah penjagaan anak.

Selain itu, kerajaan turut menggalakkan pekerja sektor awam dan swasta untuk bekerja dari rumah sebagai satu normal baharu.

Bagi kalangan mereka yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam untuk ke pejabat, sentiasa amalkan langkah penjagaan kebersihan yang rapi dengan mengelak kesesakan di stesen bas, LRT dan MRT di samping memakai topeng muka serta membawa cecair pembasmi kuman ketika berada di luar rumah.

Ikuti Jobstore.com untuk pelbagai topik trending dan peluang pekerjaan di Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *