Kepentingan Perpaduan Kaum di Malaysia

Posted by
 
Perpaduan antara rakyat Malaysia merupakan satu keistimewaan yang memainkan peranan penting demi mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Banyak negara di dunia mencontohi Malaysia sebagai negara yang berbilang bangsa, agama dan budaya kerana keharmonian dan kemakmuran antara kaum serta budaya menjadi pegangan kepada pandangan positif rakyat antarabangsa terhadap Malaysia.

Kepentingan Perpaduan Kaum di Malaysia

Menurut titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, semangat perpaduan perlu dipupuk di dalam setiap rakyat Malaysia dari bangku sekolah lagi seiring dengan mengukuhkan semangat jati diri, di samping memberi keutamaan kepada mata pelajaran Sejarah dan menjadikan sistem pendidikan sebagai medium mustahak untuk mengkekalkan perpaduan kaum. Melalui penghayatan perpaduan serta sejarah negara, diharap akan lahirnya generasi muda yang akan bertindak sebagai wargangara yang matang lagi bertanggungjawab.

Selain itu, kepelbagaian agama di Malaysia juga perlu diberi keutamaan demi mengekalkan kukuhan perpaduan antara kaum dengan mengamalkan semangat perkongsian, saling menghormati dan menanam sikap toleransi sesama rakyat Malaysia. Dengan itu, masyarakat akan lebih terbuka untuk mengenali dan memahami kepelbagaian agama di negara ini demi menguatkan lagi kesefahaman antara kaum dan agama.

Tambahan pula, sambutan pelbagai hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas, Hari Gawai dan Kaamatan boleh dijadikan platform untuk mengenali budaya dan adat resam sesama masyarakat sambil memperbaharui ikatan persahabatan. Keharmonian demi kesatuan ini juga merupakan keunikan yang bukan sahaja memperteguhkan lagi perpaduan antara kaum, malah menjadi penanda aras bagi Malaysia dalam mencapai matlamat sebagai negara yang aman dan harmoni. Misalnya, rumah terbuka bagi setiap satu perayaan diadakan untuk meraikan perpaduan kaum yang memupuk amalan ziarah-menziarahi, saling menolong dan semangat kejiranan sebagai budaya harian kita. 

Perpaduan kaum juga memainkan peranan dalam mengukuhkan lagi ekonomi negara dengan penglibatan semua kaum dalam kegiatan ekonomi. Misalnya, Dasar Ekonomi Baru yang dilancarkan pada tahun 1970 oleh Tun Abdul Razak, adalah bertujuan untuk menyusun semula ketidakseimbangan sosio-ekonomi yang wujud di negara ini. Pelancaran dasar ekonomi tersebut memastikan bahawa taraf hidup masyarakat dapat ditinggikan dalam usaha untuk mencapai kemajuan dalam pembangunan negara. Jurang perbezaan akan terhapus dalam fungsi ekonomi mengikut kaum dan lahirnya perpaduan ekonomi di kalangan rakyat, sambil meningkatkan lagi taraf pembangunan ekonomi negara.

Secara keseluruhan, perpaduan kaum merupakan antara faktor terpenting dalam mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama. Sekiranya kita berpecah atau bertelingkah antara satu sama lain, negara yang aman dan harmoni ini akan menjadi mundur dan pertikaian akan menyebabkan ketidakstabilan ekonomi yang menjejaskan pembangunan negara. Masyarakat Malaysia perlu menjadi penggerak utama dalam memupuk dan mengekalkan perpaduan antara kaum dalam usaha untuk mencapai matlamat ke arah status negara maju serta memastikan pembangunan ekonomi negara yang stabil dan konsisten.

 

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-62!

 
Jangan lupa untuk ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com untuk lebih banyak peluang pekerjaan!

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *