Budaya atau culture di tempat kerja memainkan peranan penting dalam kehidupan pekerja dan tahap produktiviti mereka.
Semua perkara yang pekerja alami semasa di tempat kerja menentukan sama ada budaya syarikat itu toksik atau sebaliknya.
Dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan 10 budaya toksik di tempat kerja yang tidak patut diamalkan dan perlu dihentikan segera!
1. Diskriminasi
Budaya diskriminasi tidak sepatutnya wujud di tempat kerja. Ini termasuk memberikan keutamaan kepada individu berdasarkan faktor seperti kaum, jantina, atau latar belakang mereka.
Budaya ini akan menghalang perkembangan profesionalisme dan menyebabkan budaya syarikat menjadi toksik serta kehilangan bakat yang berpotensi tinggi dalam organisasi.
2. Tidak bertanggungjawab dan tidak beretika
Sekiranya budaya ini diamalkan, ia hanya akan merosakkan reputasi syarikat. Ini termasuk tidak menepati janji, mengelak daripada tanggungjawab atau melakukan perbuatan yang bercanggah dengan nilai-nilai profesionalisme.
Budaya ini akan menghancurkan kepercayaan rakan sekerja dan mengganggu keharmonian tempat kerja.
3. Tidak memberi sokongan dan tidak bertoleransi
Budaya ini termasuk mengabaikan masalah kesihatan mental atau fizikal rakan sekerja, dan tidak memberikan sokongan dalam perkembangan profesional.
Budaya ini akan mengehadkan potensi individu dan menyebabkan kekurangan kepuasan kerja.
4. Gagal berkomunikasi dengan baik
Budaya ini termasuk tidak mendengar pendapat rakan sekerja, memilih untuk menyimpan maklumat penting atau mengabaikan isu-isu penting yang perlu diselesaikan.
Komunikasi yang terbuka dan berkesan adalah penting untuk meningkatkan kolaborasi dan kejayaan syarikat.
5. Bermusuhan
Bermusuhan termasuk membuatkan rakan sekerja merasa terpinggir, membuli atau mencemuh, serta mencipta geng-geng kecil dalam kalangan kakitangan.
Budaya ini akan merosakkan semangat kerja dan menyebabkan tekanan emosi yang tinggi.
6. Kerja lebih masa = berdedikasi
Salah satu budaya yang sering ditemui di tempat kerja adalah persepsi bahawa bekerja lebih masa adalah petanda seseorang pekerja itu berdedikasi.
Namun, kita perlu sedar bahawa keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi adalah penting. Kualiti kerja sepatutnya dinilai berdasarkan pencapaian dan keberkesanan, bukan berapa lama masa yang dihabiskan di tempat kerja.
7. Makan bersama-sama dengan rakan sekerja di tempat kerja
Walaupun makan beramai-ramai dengan rakan sekerja adalah baik untuk membina hubungan sosial, namun sebenarnya ia bukanlah sesuatu yang wajib untuk dilakukan di tempat kerja. Pilihan untuk makan berseorangan juga perlu dihormati.
Makan seorang diri sebenarnya dapat memberikan masa untuk berehat dan merapatkan diri tanpa perlu berasa terikat kepada sesi makan beramai-ramai.
8. Ambil kesempatan
Budaya mengambil kesempatan pada rakan sekerja atau memanfaatkan kekurangan mereka adalah satu budaya yang sangat toksik dan tidak baik. Kerjasama dan kerjasama adalah aspek penting dalam persekitaran kerja yang positif.
9. Penggunaan group WhatsApp
Sebenarnya budaya group WhatsApp dalam konteks pekerjaan boleh menjadi satu perkara menyusahkan. Anda boleh cuba untuk menggunakan aplikasi lain seperti e-mel, Telegram, Asana dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, sekiranya masih tetap ingin menggunakan group WhatsApp, elakkan penggunaannya selepas waktu pejabat. Pastikan komunikasi yang berkaitan dengan kerja adalah teratur dan tidak mengganggu masa rehat pekerja.
10. Balik awal = tiada kerja
Ideologi bahawa seseorang yang balik awal daripada tempat kerja tidak mempunyai kerja adalah salah sama sekali.
Pencapaian seseorang sepatutnya dinilai berdasarkan hasil kerja, bukannya berapa lama seseorang berada di tempat kerja. Keseimbangan antara waktu bekerja dan rehat adalah penting untuk memastikan produktiviti yang berkekalan.
Semoga perkongsian kami ini memberi manfaat dan panduan buat anda.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!
Hanis Izzatul, is a digital writer who writes about careers, lifestyle, and current trending content to engage Malay readers, informing them about the latest trends happening around. Hanis also are into arts, music, film, and gigs.
Reach me at hanis@jobstore.com