Walaupun Malaysia menunjukkan kemajuan dari segi inklusiviti, golongan kurang upaya (OKU) masih berdepan cabaran di tempat kerja yang memerlukan peluang sama rata dan kemudahan lebih baik di tempat kerja.
Memetik temu bual daripada FMT, bersama S Ramesh, 32, yang dilahirkan dengan spina bifida, dia hanya mendapat kerja selepas pencarian selama dua tahun.
“Mencari kerja cuma satu daripada banyak cabaran yang saya hadapi sepanjang hidup ini,” katanya.
Menurut Setiausaha Agung Persatuan PKS Malaysia, Chin Chee Seong, wujud keperluan meningkatkan kemudahan di tempat kerja, melabur dalam pengubahsuaian fizikal dan teknologi mudah suai bagi menyokong pekerja kurang upaya serta diskriminasi terhadap OKU di tempat kerja juga perlu dihapuskan.
“OKU sering dibayar kurang berbanding rakan sekerja lain kerana ada salah tanggapan terhadap produktiviti terhalang serta keperluan kesihatan, selain berat sebelah dalam pengambilan atau menawarkan peluang sama rata.”
Tambah Chin Chee Seong lagi, kerja dalam bidang perkhidmatan pelanggan dan pusat panggilan, khususnya yang membolehkan seseorang bekerja dari rumah, lebih sesuai untuk OKU, namun kebanyakan peluang ini tidak diberikan kepada mereka.
“Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengakui kerajaan menawarkan insentif menggalakkan pengambilan OKU. Namun, kebanyakan PKS beroperasi dalam sektor perkhidmatan yang tidak selalunya seiring kemampuan OKU, jadi bilangan OKU diambil bekerja mungkin masih terhad.”
Presiden Persatuan Damai Orang Kurang Upaya Malaysia, V Murugeswaran berkata, isu melibatkan perbezaan gaji dan bilangan rendah OKU di tempat kerja menekankan perlunya perlindungan dari segi undang-undang serta sokongan kerajaan.
Menurutnya, masyarakat OKU kekurangan suara di Parlimen, namun beliau berharap Akta Orang Kurang Upaya 2008 akan dipinda untuk memberikan golongan itu lebih banyak perlindungan di tempat kerja.
Pindaan cadangan itu – seperti dimaklumkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri akan dibentangkan tahun ini – bertujuan memberi OKU akses kepada pekerjaan seiring orang lain.
Ia turut menetapkan OKU perlu disediakan persekitaran kerja adil dan memuaskan, termasuk peluang dan gaji sama rata, persekitaran kerja selamat dan sihat, perlindungan daripada gangguan serta penyelesaian aduan.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!
Hanis Izzatul, is a digital writer who writes about careers, lifestyle, and current trending content to engage Malay readers, informing them about the latest trends happening around. Hanis also are into arts, music, film, and gigs.
Reach me at hanis@jobstore.com