Teknologi AI Buatkan Berjuta Rakyat Malaysia Berisiko Hilang Kerja

Teknologi AI Buatkan Berjuta Rakyat Malaysia Berisiko Hilang Kerja

Posted by

Ancaman kehilangan pekerjaan disebabkan oleh kemajuan Kecerdasan Buatan (AI) dan Pembelajaran Mesin (ML) menjadi isu yang semakin membimbangkan di seluruh dunia, terutamanya di Malaysia.

Hal ini disebabkan oleh syarikat-syarikat besar yang telah memulakan penggunaan teknologi ini untuk meningkatkan efisiensi dan mengawal kos. Namun, kesan terhadap pekerjaan manusia semakin terasa.

Menurut laporan daripada Kementerian Sumber Manusia pada Jun tahun lalu, kira-kira 4.5 juta penduduk Malaysia berisiko kehilangan pekerjaan menjelang tahun 2030 sekiranya mereka tidak meningkatkan kemahiran mereka mengikut keperluan pasaran iaitu melalui reskilling dan upskilling.

Hal ini secara tidak langsung memperlihatkan ancaman bidang pekerjaan asas atau sokongan bakal terancam susulan ledakan teknologi AI.

Secara keseluruhannya, sekurang-kurangnya 83 juta pekerjaan dijangka pupus dalam tempoh lima tahun akan datang disebabkan oleh kemajuan teknologi tersebut.

Dalam pada itu, menurut Profesor Niusha Shafiabady dari Universiti Charles Darwin, beberapa bidang pekerjaan menghadapi risiko yang besar.

Sektor pekerjaan asas, sokongan, dan perkhidmatan pelanggan adalah antara yang paling terjejas.

Berikut adalah tiga pekerjaan yang mungkin terancam oleh kemajuan AI dan ML:

1. Perkhidmatan pelanggan

Teknologi AI Buatkan Berjuta Rakyat Malaysia Berisiko Hilang Kerja

Pekerjaan yang melibatkan perkhidmatan pelanggan, seperti panggilan pusat dan respons melalui media sosial, mungkin terancam oleh chatbot dan bantuan virtual yang disokong oleh kecerdasan buatan. Teknologi ini boleh mengurangkan kebergantungan pada tenaga kerja manusia dalam memberikan perkhidmatan pelanggan.

Selain itu, pekerjaan seperti penyeliaan stesen kawalan pengeluaran, penyelenggaraan sistem dan pengurusan data, serta pekerjaan dalam sektor perbankan dan perakaunan boleh digantikan oleh perisian AI yang cekap.

Walau bagaimanapun, teknologi AI tidak akan memberi kesan kepada pekerjaan yang melibatkan buruh kasar. Ini kerana, sektor pembinaan untuk menjalankan kerja intensif buruh, tidak mungkin digantikan oleh teknologi tersebut.

Menurut laporan Forum Ekonomi Dunia 2023 (WEF 2023), pekerjaan yang memerlukan kemahiran sosial dan emosi yang tinggi seperti pengurusan, kepimpinan, dan keusahawanan kurang terkesan oleh ancaman AI.

2. Pekerjaan dalam bidang restoran

Teknologi AI Buatkan Berjuta Rakyat Malaysia Berisiko Hilang Kerja

Media antarabangsa baru-baru ini melaporkan rangkaian kedai restoran di Jepun dan Eropah sudah mula menggunakan robot berkuasa kecerdasan buatan AI untuk menggantikan tenaga kerja manusia.

Namun, robot tersebut hanya akan digunakan sekiranya premis makanan tersebut mengalami kekurangan pekerja.

Melihat situasi tersebut, tidak mustahil pekerjaan tersebut akan benar-benar digantikan oleh robot. Malah, fenomena ini sudah mula muncul di beberapa premis makanan di seluruh negara. Walaupun sukar diterima, ini adalah realiti yang harus kita hadapi pada masa ini.

Robot AI ini memiliki pengaruh kuat dalam menyediakan bekalan buruh baharu yang hampir tidak habis-habis keperluannya

3. Pekerjaan dalam bidang perkeranian

Pekerjaan yang melibatkan pengolahan data dan entri data, seperti kerja administratif, mungkin akan digantikan oleh sistem AI yang dapat mengumpulkan, menganalisis, dan memproses data secara otomatik.

Menurut Profesor Niusha Shafiabady, teknologi pemprograman dan AI lebih berpatutan berbanding kos upah pekerja.

Sehubungan itu, melalui kajian yang dilakukan terdapat syarikat yang sudah mula menggunakan teknologi AI ini untuk menjimatkan kos mereka.

Selain itu, menurut laporan Forum Ekonomi Dunia 2023 (WEF 2023) tentang Pekerjaan Masa Depan, penurunan terbesar terlihat dalam sektor pekerjaan yang berpusat pada perkeranian.

Laporan WEF tersebut jelas menunjukkan beberapa sektor pekerjaan yang dijangka akan pupus dalam tempoh lima tahun akan datang dan sektor pekerjaan yang melibatkan tugas asas perkeranian menunjukkan penurunan terbesar, melebihi 50 peratus. Ini termasuk pekerjaan dalam perkhidmatan pelanggan yang kini telah digantikan oleh bot perbualan berasaskan AI.

Justeru, pihak berkuasa perlu memastikan penggunaan teknologi AI dikawal dengan baik untuk memastikan ia memberi manfaat dan tidak menjadi ancaman yang menghancurkan pekerjaan manusia.

Artikel berkaitan: Bidang Pekerjaan Yang Mungkin Tidak Akan Diambil Alih AI

Dalam pada itu, Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *