Acanthosis Nigricans adalah keadaan di mana kulit menjadi gelap dan terasa tebal seperti baldu. Ia lazimnya terjadi di leher, lipatan kulit, dan bahagian lain pada tubuh. Selain dari leher, keadaan ini sering juga terjadi di ketiak, serta kadang-kadang di lipatan lain seperti pangkal paha.
Siapakah Yang Mengalami Acanthosis Nigricans?
Acanthosis Nigricans boleh berlaku bukan sahaja pada lelaki malah boleh juga berlaku pada wanita dan kanak-kanak. Kadangkala, individu yang mengalami keadaan ini adalah disebabkan oleh keturunan atau sebahagian daripada sindrom genetik.
Atau antara faktor lain yang boleh menyebabkannya terjadi adalah kesan dari ubat-ubatan seperti kontraseptif oral atau steroid.
Adakah Acanthosis Nigricans Ini Berbahaya?
Keadaan leher menjadi gelap ini sebenarnya bukanlah sebuah penyakit dan ia juga tidak berjangkit atau berbahaya sekiranya individu mengalaminya.
Acanthosis Nigricans sering dikaitkan dengan rintangan insulin. Hal ini kerana, kebanyakan orang yang mempunyai Acanthosis Nigricans juga telah menjadi tahan ke atas insulin sekaligus menyebabkan individu mengalami diabetes jenis 2.
Selain itu, Acanthosis Nigricans juga sering berlaku kepada individu yang mempunyai gangguan hormon seperti sista ovari, tiroid yang tidak aktif atau masalah dengan kelenjar adrenal.
Malah, ada juga yang mengalami Acanthosis Nigricans akibat daripada pengambilan ubat dan suplemen tertentu. Sebagai contoh, niacin dos tinggi, pil kawalan kelahiran, prednison dan kortikosteroid lain boleh menyebabkan Acanthosis Nigricans.
Cara Merawat Acanthosis Nigricans
Kawasan kulit yang terkena Acanthosis Nigricans sering kelihatan gelap dan kotor. Menggosoknya tidak akan membantu malah boleh merengsakannya. Untuk mengurangkan atau menghilangkan tompokan gelap pada kulit, langkah pertama adalah dengan menghentikan penggunaan ubat yang menjadi punca masalah ini atau merawat diabetes dan keadaan kesihatan lain.
Selain itu, obesiti boleh mencetuskan Acanthosis Nigricans, jadi dengan menurunkan berat badan, ia akan membantunya menjadi lebih pudar. Sekiranya anda bimbang tentang berat badan anda, dapatkan nasihat daripada doktor anda sebelum menjalani diet.
Amalan Gaya Hidup Dan Pemakanan Yang Sihat
Untuk mengurangkan kesan Acanthosis Nigricans, penting untuk anda mengamalkan diet yang sihat dan melakukan aktiviti fizikal yang kerap. Ini dapat membantu menurunkan tahap insulin dan memperbaiki penampilan kulit.
Antara amalan pemakanan yang boleh dipraktikkan termasuklah:
- Pengambilan hidangan bijirin penuh dan memperbanyakkan hidangan berasaskan buah-buahan dan sayur-sayuran
- Minum air atau susu rendah lemak dan bukannya soda, jus atau minuman manis
- Hadkan makanan yang diproses tinggi, makanan berlemak dan makanan manis
Bacaan lain: Ini 4 Jenis Senaman Yang Membantu Anda Untuk Capai Tahap Kesihatan Optimum
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!