Pengumuman gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2025 baru-baru ini menyebabkan ramai pemain industri dan pemilik bisnes meluahkan kebimbangan dengan kesan kenaikan kos overhed menerusinya.
Terbaharu, Kelantan, Perlis dan Sabah dilaporkan bakal menjadi antara negeri yang berdepan kesukaran dalam memenuhi tuntutan ini.
Memetik laporan Utusan bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian, tiga negeri ini memiliki saiz pasaran ekonomi yang lebih kecil diikuti tahap kos sara hidup yang lebih rendah.
Tambahan pula di Sabah wujudnya isu permasalahan kos bahan mentah yang lebih tinggi.
Malah sekiranya dilihat kepada status Gaji Penengah Bulanan dalam sektor formal di ketiga-tiga negeri tersebut setakat Mac 2024, didapati jumlahnya kekal rendah berbanding negeri yang lain.
Menurut laporan, secara purata negeri Kelantan hanya menawarkan RM1,645, diikuti oleh Perlis dengan RM1,682 dan Sabah dengan RM1,882.
Bukan itu sahaja, menurut laporan, rata-rata pekerja di kawasan bandar dan berstatus lepasan universiti adalah ideal dengan gaji permulaan RM2,000 sehingga lebih RM3,000.
Walau bagaimanapun, aturan tersebut berbeza dengan kawasan luar bandar yang memperlihatkan penetapan paras gaji lebih rendah.
Melihat kepada laporan ini, dijangka pelaksanaan aturan ini akan memerlukan sedikit masa untuk dilaksanakan secara menyeluruh, walaupun negara telah menetapkan penguatkuasaan gaji minimum RM1,700 mulai 1 Februari 2025.
Artikel berkaitan: Malaysia Duduki Tangga Ke-59 Gaji Minimum
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!