Malaysia Duduki Tangga Ke-59 Gaji Minimum

Malaysia Duduki Tangga Ke-59 Gaji Minimum

Posted by

Malaysia berada di tempat ke-59 daripada 67 negara dalam ranking gaji bersih minimum setakat Januari 2024 iaitu sebanyak RM1,323 sebulan tanpa merekodkan sebarang peningkatan berbanding tahun lepas.

Menurut kajian yang dilakukan perkhidmatan beli-belah, Picodi Malaysia, ia juga mengkaji perbandingan antara gaji minimum dengan kenaikan harga barangan runcit asas serta kos sara hidup.

Menurut Picodi Malaysia lagi, nilai bakul beli-belah pada Januari 2024 meningkat kepada 7.9 peratus berbanding Januari 2023.

“Sebakul produk makanan asas yang diperlukan untuk menjalani kehidupan adalah berharga RM 437.58 iaitu 33.1 peratus daripada gaji minimum (tempat ke-48 dalam ranking).

“Pada awal tahun 2023, ia mencatatkan sebanyak 30.6 peratus daripada gaji minimum. Ini bermakna kenaikan gaji minimum Malaysia tidak seiring dengan kenaikan harga makanan,” kata badan itu dalam laporan bertajuk ‘Gaji minimum di seluruh dunia: Di manakah anda boleh hidup dengan gaji minimum?’.

Lima negara yang menduduki lima anak tangga tertinggi dalam ranking peningkatan gaji bulanan minimum pada Januari 2024 ialah Argentina sebanyak 128.4 peratus atau AS$297 diikuti Turkiye (99.9 peratus/AS$596), Nigeria (83.3 peratus/AS$68), Pakistan, (29.3 peratus/AS$114) dan Maldova (23.1 peratus/AS$239).

Sementara itu, Indonesia mencatatkan peningkatan sebanyak 7.1 peratus atau AS$187 dan Thailand (2.4 peratus/AS$203).


Malaysia Duduki Tangga Ke-59 Gaji Minimum

Picodi Malaysia turut menjelaskan nisbah bakul runcit yang paling selesa kepada gaji minimum boleh didapati di United Kingdom, Ireland, Belanda, Luxembourg dan New Zealand dengan pekerja di negara berkenaan hanya membelanjakan kurang 10 peratus daripada gaji minimum bagi membeli keperluan barangan runcit asas.

“Malaysia jauh ketinggalan berbanding negara itu memandangkan bakul kelangsungan hidup di negara ini mewakili 33.1 peratus gaji minimum (berada pada kedudukan ke-48 dalam ranking).

“Namun, kedudukan Malaysia lebih tinggi berbanding Pakistan (42.4 peratus), Indonesia (49.8 peratus), Thailand (54.4 peratus) dan Filipina (66.2 peratus),” kata Picodi Malaysia.

Dalam pada itu, terdapat beberapa negara yang menggunakan lebih separuh daripada gaji minimum untuk membeli keperluan barangan runcit asas termasuk Kazakhstan dengan 54 peratus, India (58.5 peratus), Vietnam (65.6 peratus) dan Armenia (74.6 peratus).

Artikel berkaitan: Gaji Pekerja Di Syarikat Malaysia Dijangka Naik 5% Tahun 2024

Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!

Sumber: Berita Harian


Hanis Izzatul, is a digital writer who writes about careers, lifestyle, and current trending content to engage Malay readers, informing them about the latest trends happening around. Hanis also are into arts, music, film, and gigs.

Reach me at hanis@jobstore.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *