Perokok Wanita Kehilangan Jangka Hayat 5 Minit Lebih Pendek Daripada Lelaki

Perokok Wanita Kehilangan Jangka Hayat 5 Minit Lebih Pendek Daripada Lelaki

Posted by

Merokok merupakan punca utama pelbagai penyakit serius, termasuklah penyakit jantung, masalah pernafasan dan bahkan berisiko menyebabkan kematian. Dalam usaha untuk lebih memahami risiko ini, pakar kesihatan telah menjalankan kajian terperinci mengenai kesan rokok terhadap jangka hayat seseorang. 

Dalam kajian terbaharu, pakar mendapati golongan lelaki kehilangan 17 minit jangka hayat bagi setiap rokok yang dihisap.

Sementara jangka hayat wanita pula berkurangan sebanyak 22 minit untuk setiap rokok yang dihisap, sekaligus menunjukkan bahawa jangka hayat perokok wanita adalah lima minit lebih pendek berbanding lelaki.

Anggaran baharu ini lebih tinggi berbanding anggaran terdahulu yang menyatakan bahawa setiap rokok mengurangkan jangka hayat perokok sebanyak 11 minit. Anggaran terkini ini diperoleh berdasarkan data terbaru daripada kajian jangka panjang yang memantau kesihatan populasi.

Menurut penyelidik dari University College London (UCL) di Britain, kerosakan akibat merokok adalah bersifat kumulatif

Disebabkan itu, semakin cepat seseorang berhenti merokok, dan semakin sedikit rokok yang diambil, semakin panjang hayat mereka.

Dalam pada itu, kajian terbaharu dari Jabatan Kesihatan dan Penjagaan Sosial Britain, mencadangkan bahawa jika seorang perokok hanya menghisap 10 batang rokok sehari dan berhenti pada 1 Januari, mereka berpeluang untuk memulihkan satu hari penuh jangka hayat mereka menjelang 8 Januari.

Menjelang 20 Februari, hayat mereka boleh dipanjangkan sehingga satu minggu.

Sekiranya perokok berjaya berhenti merokok sehingga 5 Ogos, mereka berkemungkinan hidup sebulan lebih lama berbanding jika mereka terus merokok.

Kajian juga mendapati bahawa perokok sering kehilangan jumlah tahun sihat yang hampir sama dengan jumlah keseluruhan tahun hayat mereka. 

Ini bermakna, merokok lebih banyak menjejaskan tahun-tahun sihat di pertengahan kehidupan, berbanding sekadar memendekkan tempoh hayat pada fasa akhir yang biasanya dipenuhi dengan pelbagai penyakit kronik atau masalah kesihatan lain.

Oleh itu, seorang perokok yang berusia 60 tahun lazimnya akan mempunyai keadaan kesihatan yang setara dengan seorang individu berusia 70 tahun yang tidak merokok.

Menurut kajian yang akan diterbitkan dalam Journal of Addiction, dianggarkan bahawa secara purata, perokok di Britain yang terus merokok kehilangan sekitar 20 minit jangka hayat bagi setiap rokok yang mereka hisap. Anggaran ini menggambarkan betapa seriusnya kesan merokok terhadap tempoh hidup seseorang.

“Berhenti merokok pada setiap usia adalah bermanfaat, tetapi semakin cepat perokok berhenti, semakin panjang dan sihat hidup yang mereka dapat jangkakan,” petikan dari jurnal itu.

Menurut Dr Sarah Jackson, Felo penyelidik utama dari Kumpulan Penyelidikan Alkohol dan Tembakau UCL, orang ramai perlu diingatkan betapa bahayanya merokok dan sejauh mana berhenti merokok boleh meningkatkan kesihatan dan jangka hayat mereka.

“Bukti menunjukkan perokok kehilangan, secara purata, kira-kira 20 minit hidup untuk setiap rokok yang mereka hisap.

“Semakin cepat seseorang berhenti merokok, semakin panjang hayat mereka. Berhenti pada usia apa pun dapat memperbaiki kesihatan dengan ketara, dan manfaatnya bermula hampir serta-merta.

“Tidak pernah terlambat untuk membuat perubahan positif kepada kesihatan anda, dan terdapat pelbagai produk dan rawatan berkesan yang boleh membantu perokok berhenti sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Awam Britain, Andrew Gwynne, menyatakan bahawa merokok adalah tabiat yang bukan sahaja mahal, tetapi juga mematikan. Penemuan ini mendedahkan satu realiti yang mengejutkan mengenai ketagihan merokok, sekaligus menegaskan betapa pentingnya untuk menghentikan tabiat berbahaya ini.

Artikel berkaitan: 5 Jenama Rokok Termahal Di Dunia

“Tahun baru menawarkan peluang yang sempurna bagi perokok untuk membuat resolusi baharu dan mengambil langkah tersebut,” katanya.

Pada masa yang sama, Profesor Dr Sanjay Agrawal, penasihat khas Royal College of Physicians dalam bidang tembakau, menjelaskan bahawa setiap rokok yang dihisap sebenarnya mengorbankan minit-minit berharga daripada kehidupan seseorang.

“Kesan kumulatifnya adalah sangat memusnahkan, bukan sahaja kepada individu, tetapi juga kepada sistem penjagaan kesihatan dan ekonomi kita.

“Penyelidikan ini adalah peringatan yang kuat tentang keperluan mendesak untuk menangani tabiat merokok sebagai penyebab utama yang boleh dicegah bagi kematian dan penyakit di Britain,” katanya.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat dan ilmu baru buat anda.

Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!

Sumber: The Star

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *