Bosan di Pejabat

Bosan di Pejabat? Ketahui Sebab dan Cara Atasi!

Posted by

Hari Isnin tiba lagi… bunyi penggera telefon menganggu ketenteraman anda di waktu hening pagi. Anda asyik menekan butang ‘snooze’ dan berharap untuk pejamkan mata untuk 5 minit sahaja lagi. Setelah memaksa diri ke pejabat, fikiran anda telahpun menerawang entah ke mana. Hari anda baru sahaja hendak bermula, tetapi anda sudah mula berasa bosan di pejabat. Apakah sebabnya? 

 

 

1. Minat dan skop kerja tidak sepadan

Mempunyai skop kerja yang tidak sepadan dengan minat atau kursus yang diambil semasa belajar kini bukanlah sesuatu yang baru. Dengan peluang pekerjaan yang terhad kini, tidak pelik jika seseorang akan ambil sahaja peluang yang ada di depan mata asalkan tidak menganggur. Akan tetapi, lambat laun perasaan bosan itu akan datang jua. 

2. Tidak menggunakan keupayaan anda sepenuhnya

Masing-masing mempunyai tahap kemahiran dan bakat tertentu. Apabila keupayaan diri tidak digunakan sepenuhnya di pejabat, anda berkemungkinan akan berasa tugasan sedia ada tidak mencabar. Lantas, anda akan mula menyoal tentang nilai anda sebagai pekerja dan seterusnya hilang motivasi untuk bekerja.

3. Peluang yang sedikit untuk pertumbuhan dan pembelajaran

Sekiranya syarikat tidak menyediakan peluang untuk anda sebagai pekerja untuk belajar perkara-perkara baru dan anda turut tidak nampak akan sebarang kemajuan dalam karier anda, siapa sahaja yang tidak akan hilang motivasi dan bosan di pejabat bukan?

4. Mempunyai banyak masa lapang

Tidak salah untuk anda berehat sebentar dari memikirkan soal kerja, malah berehat adalah penting bagi mengekalkan tahap produktiviti. Akan tetapi sekiranya anda mempunyai banyak masa lapang, ianya merupakan suatu masalah kerana minda anda akan mula menerawang ke alam yang lain dan bukan terhadap tugasan anda.

5. Tidak mempunyai matlamat yang jelas

Selalunya mereka yang telah memegang jawatan yang sama atau telah berada di sesebuah syarikat terlalu lama sering akan hilang matlamat untuk perjalanan karier mereka dengan cepat. Lantas menyebabkan individu tersebut berasa bosan di pejabat.

 

 

Bosan di Pejabat? Atasinya dengan bijak!

Perasaan bosan yang anda rasa itu tidak akan hilang dengan sendirinya tanpa sebarang tindakan. Oleh itu, apakah cara mengatasi perasaan bosan di pejabat?

1. Maklumkan kepada pegawai atasan

Sekiranya pegawai atasan anda sudi mendengar sebarang maklum balas soal kerja, anda boleh meminta tugasan yang lebih mencabar atau mengikut minat anda. Inisiatif tersebut bukan sahaja membantu menghilangkan perasaan bosan di pejabat, pegawai atasan anda juga akan berasa senang dengan kemahuan anda untuk belajar.

2. Lakukan tugasan luar dari skop kerja

Setelah selesai tugasan sedia ada, luangkan masa untuk melakukan tugasan-tugasan luar dari skop kerja dan tanggungjawab anda pula. Mana tahu majikan anda perasan dan maklum akan etika kerja anda itu lantas akan memberikan tugasan menarik untuk anda cuba kelak?

3. Belajar kemahiran baru apabila lapang

Sekiranya anda mempunyai banyak masa lapang, kembangkan pengetahuan anda dan belajar kemahiran baru. Pekerja yang mempunyai inisiatif sendiri untuk belajar sentiasa akan menjadi suatu aset untuk majikan.

4. Tahu apa yang anda mahukan dengan pekerjaan anda

Apabila anda mempunyai matlamat yang jelas, ianya boleh dijadikan sebagai motivasi untuk anda bekerja. Tidak mengapa sekiranya anda mengambil masa untuk merancang matlamat peribadi, anda boleh sahaja catat di kertas pelekat bila-bila dan tampal di meja sebagai peringatan serta motivasi.

5. Berehat secukupnya

Elakkan berasa bosan di pejabat dengan berehat secukupnya. Jangan ragu-ragu untuk memohon cuti jika perlu, anda layak untuk berbuat sedemikian. Anda boleh kembali bekerja apabila anda rasa sudah bersedia.

6. Berhenti kerja jika terpaksa

Sekiranya anda masih berasa bosan di pejabat setelah mencuba pelbagai cara, sudah tiba masanya untuk anda berhenti kerja jika terpaksa. Peluang pekerjaan ada di mana-mana, jangan mengalah dan semoga anda peroleh pekerjaan impian anda!

 

Kongsikan pandangan anda di ruangan komen di bawah. Jangan lupa ikuti Jobstore.com untuk lebih banyak peluang pekerjaan, informasi kerjaya dan pelbagai lagi.


Nurin Eznieka is a digital content writer who writes about lifestyle, tips and tricks, including career-related contents both in Malay and English languages. Nurin is a foodie who enjoys food hunting and cafe hopping during her free time.

Reach me at: nurin@jobstore.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *