Kesetiaan seseorang pekerja bergantung kepada dedikasi mereka kepada sesebuah syarikat atau organisasi. Antara salah satu faktor yang menyebabkan kesetiaan pekerja adalah kegembiraan apabila di tempat kerja. Pekerja yang gembira akan menunjukkan prestasi yang cemerlang serta memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada syarikat.
Menurut sumber, pekerja yang setia akan menjana sehingga satu pertiga hasil pendapatan organisasi. Persoalannya, bagaimanakah caranya untuk memastikan seseorang pekerja itu setia kepada sesebuah syarikat? Dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan 5 tips yang dapat mengekalkan kesetiaan pekerja.
1. Komunikasi yang baik dengan pekerja
Sesebuah syarikat akan beroperasi dengan dengan lebih cekap sekiranya majikan dan pekerja mempunyai komunikasi yang baik. Masalah komunikasi biasanya terjadi akibat perbezaan pendapat atau mempunyai hubungan yang tidak baik antara majikan dan pekerja. Contoh komunikasi yang baik adalah saling bekerjasama, berbincang, bertukar pendapat, sedia menerima teguran dan saling hormat menghormati.
Sebagai seorang majikan, anda bertanggungjawab untuk membina hubungan yang sihat dengan pekerja dan bukan hanya mengeluarkan arahan semata-mata. Berikan pekerja anda peluang untuk menyuarakan pendapat dan idea kreatif mereka. Dengan cara ini, pekerja anda akan berasa lebih berhubung dengan syarikat dan mempunyai motivasi yang lebih besar untuk kekal setia.
2. Pengiktirafan atau penghargaan
Dengan memberikan pengiktirafan atau penghargaan kepada pekerja yang berprestasi cemerlang, ia sedikit sebanyak dapat meningkatkan lagi motivasi mereka untuk bekerja dengan lebih gigih dan bersemangat serta akan meningkatkan kesetiaan pekerja.
Ganjaran yang diberikan tidak semestinya dalam bentuk kewangan sahaja. Anugerah kakitangan cemerlang atau jamuan makan tengah hari merupakan suatu ganjaran yang sangat dihargai oleh pekerja disamping kenaikan pangkat bagi mereka yang layak.
3. Bina kepercayaan antara pekerja
Salah satu cara untuk meningkatkan kesetiaan pekerja anda adalah dengan memperbanyakkan program pembinaan pasukan atau team building. Program sebegini dapat menanam semangat kekitaan dalam diri pekerja seterusnya meningkatkan kebolehan pekerja untuk bekerja secara berkumpulan serta meningkatkan kebersediaan mereka untuk saling membantu.
4. Pembangunan dan latihan kerjaya
Sesetengah pekerja menyertai sesebuah syarikat bukan sekadar untuk mendapat gaji tetapi juga untuk membina career growth. Oleh itu, sebagai majikan anda harus menyediakan program latihan bagi pekerja yang berhasrat untuk meningkatkan prestasi diri.
Apabila pekerja merasakan terdapat peluang untuk berkembang dalam syarikat, mereka akan lebih cenderung untuk kekal setia.
5. Menyediakan tempat kerja yang selesa dan menyeronokkan
Anda sebagai majikan perlu wujudkan sebuah tempat kerja yang menarik, selesa, kondusif dan menyeronokkan untuk pekerja-pekerja anda. Sediakan pelbagai kemudahan seperti ruang rehat, bilik perbincangan dan surau yang selesa. Jangan lupa untuk sediakan juga kemudahan seperti mesin layan diri atau pantri.
Inisiatif ini dapat meningkatkan kesetiaan pekerja kepada syarikat anda. Suasana seperti ini dapat mengurangkan tekanan. Bekerja tanpa kawalan dan peraturan yang ketat juga dapat memberi kepuasan kepada pekerja dalam melakukan tugas mereka dengan sepenuh hati.
Semoga perkongsian kami kali ini memberi manfaat buat anda semua.
Jangan lupa ikuti kami di semua platform media sosial untuk pelbagai tips-tips bermanfaat untuk para majikan dan perekrut (recruiter). Layari Jobstore.com untuk kongsi dan siarkan peluang pekerjaan di syarikat anda bersama kami.
Hanis Izzatul, is a digital writer who writes about careers, lifestyle, and current trending content to engage Malay readers, informing them about the latest trends happening around. Hanis also are into arts, music, film, and gigs.
Reach me at hanis@jobstore.com