Cuaca panas terik atau juga dikenali sebagai El Nino (perubahan cuaca panas menyebabkan kemarau teruk) yang melanda negara ketika ini perlu diambil serius kerana sekiranya tidak, anda mungkin berisiko untuk terkena strok haba (heat stroke).
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga penghujung Mac 2024.
“Cuaca panas yang dialami pada ketika ini adalah satu fenomena berulang yang berlaku saban tahun pada setiap Februari hingga Mei. Dalam tempoh ini, suhu maksimum harian boleh melebihi 35 darjah Celsius pada awal petang,” katanya.
Tambahnya lagi, suhu tertinggi yang dicatatkan oleh stesen meteorologi utama MetMalaysia adalah 36.9 darjah Celsius, iaitu di Chuping, Perlis pada 8 Februari lalu.
Orang awam dinasihatkan untuk mengikuti arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan mengikuti perkembangan keadaan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Oleh itu, dalam artikel kali ini, kami kongsikan antara enam langkah penting yang perlu anda amalkan untuk kekal sihat ketika cuaca panas.
1. Banyakkan minum air putih/masak
Minum air putih/masak yang mencukupi iaitu sekurang-kurangnya 2.5 liter atau enam gelas sehari tanpa mengira tahap kegiatan fizikal seharian anda. Pastikan anda sentiasa menghidratkan badan.
Anda juga boleh minum air isotonik untuk menggantikan garam dan mineral yang keluar melalui peluh.
Elakkan minuman berkafein, bergula atau beralkohol kerana ia tidak bagus untuk kesihatan terutamanya ketika musim panas kerana ia hanya akan menyebabkan anda kerap membuang air kecil lalu menyebabkan kekurangan cecair dalam badan.
2. Pakai pakaian yang terang, ringan dan longgar
Pakaian yang tebal, ketat dan berwarna gelap hanya sesuai dipakai ketika musim sejuk atau waktu malam.
Ia tidak sesuai dipakai ketika matahari berada tegak di atas kepala.
Oleh itu, anda disarankan untuk pakai pakaian yang ringan, longgar dan berwarna terang ketika musim panas ini.
Ia tidak sesuai dipakai ketika matahari berada tegak di atas kepala.
3. Hadkan aktiviti luar rumah
Ia bertujuan untuk membantu mengelakkan tubuh daripada kekurangan air. Anda disarankan untuk mengehadkan kegiatan luar, kerap berehat, mandi atau menggunakan kipas angin untuk menyejukkan tubuh badan anda.
4. Pakai topi atau payung sekiranya berada di luar rumah
Selain pakaian, gunakan aksesori seperti topi atau payung bagi melindungi anda daripada panas dan terik cahaya matahari.
Rancang aktiviti seharian anda seeloknya bagi meminimumkan pendedahan anda terhadap panas dan terik cahaya matahari.
5. Tidak duduk di dalam kenderaan yang bertutup
Elakkan duduk di dalam kenderaan terutamanya yang tidak mempunyai penyaman udara untuk waktu yang lama.
Ini kerana bahang di dalam kenderaan boleh menyebabkan bahaya serius dan mengancam nyawa.
6. Gunakan pelindung matahari (sunscreen/sunblock)
Pakai pelindung matahari spektrum luas dengan SPF 15 atau lebih apabila anda berada di luar rumah. Gunakan pelindung matahari dengan lebih kerap untuk mengelakkan selaran matahari (sunburn). Selaran matahari menjejaskan keupayaan badan anda untuk menyejukkan diri.
Semoga perkongsian kami ini memberi panduan buat anda.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!
Hanis Izzatul, is a digital writer who writes about careers, lifestyle, and current trending content to engage Malay readers, informing them about the latest trends happening around. Hanis also are into arts, music, film, and gigs.
Reach me at hanis@jobstore.com