Bekerja dalam satu pasukan bukanlah satu perkara yang mudah untuk diuruskan. Walaupun setiap pekerja berkongsi matlamat yang sama, mereka sering melihat sesuatu projek daripada sudut pandang dan objektif yang berbeza.
Oleh sebab itu, penganjuran mesyuarat pasukan (team meetings) secara berkala sangat penting bagi memastikan setiap individu mendapat gambaran keseluruhan yang jelas tentang perkembangan semasa tugasan mereka.
Berikut adalah 9 sebab mengapa mesyuarat pasukan sangat penting untuk sesebuah organisasi.
Artikel berkaitan: 5 Etika Penting Menghadiri Mesyuarat
1. Medium terbaik membina hubungan saling menyokong
Team meeting menyediakan ruang fizikal atau digital untuk ahli kumpulan saling membantu. Ia memberi peluang kepada pekerja untuk menawarkan sokongan moral mahupun teknikal kepada rakan sepasukan yang mungkin sedang menghadapi jalan buntu dalam tugasan mereka.
2. Menyediakan persekitaran yang selamat (safe space)
Perjumpaan bersemuka membuka ruang yang selamat untuk berkongsi maklumat sensitif atau idea. Ada sesetengah perkara atau pandangan yang dirasakan kurang selesa untuk ditulis melalui e-mel atau laporan rasmi, tetapi menjadi lebih mudah untuk diluahkan secara terus dalam meeting.
3. Pentas terbuka dan adil untuk semua ahli
Meeting yang efektif berfungsi sebagai forum terbuka yang adil. Setiap individu yang hadir mempunyai peluang yang sama rata untuk bersuara dan mendengar. Peranan bercakap tidak lagi terhad kepada ketua pasukan sahaja, malah idea daripada pekerja bawahan juga dapat didengari secara langsung.
4. Memperkukuh komponen kepimpinan
Bagi seorang ketua, mesyuarat adalah waktu terbaik untuk menaikkan semangat moral pekerja, menjelaskan visi misi syarikat serta memperincikan peranan setiap individu. Gaya kepimpinan yang baik sukar dizahirkan sekiranya tiada interaksi dua hala antara ketua dan anak buah.
5. Keakraban yang tidak boleh ditukar ganti
Elemen kebersamaan, rasa selamat dan keakraban dalam mesyuarat sangat penting, khususnya ketika organisasi menghadapi krisis. Meskipun persidangan video atau meeting dalam talian mampu menjadi pilihan apabila ahli pasukan berada di lokasi berbeza, meeting secara bersemuka masih menawarkan pengalaman yang lebih memuaskan serta memperkukuh keberkesanan komunikasi.
6. Ruang untuk keluar daripada rutin harian yang membosankan
Apabila terlalu sibuk dengan rutin kerja harian, pekerja mudah terperangkap dalam tugasan yang sama setiap hari. Team meeting menjadi platform untuk mereka keluar daripada rutin tersebut, menumpukan perhatian kepada matlamat yang lebih besar dan mengukuhkan kerjasama dalam menyelesaikan tugasan merentas fungsi.
7. Mewujudkan saluran maklum balas yang sihat
Ahli pasukan boleh memanfaatkan meeting untuk memberikan maklum balas (feedback) yang membina antara satu sama lain. Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa meeting kelompok perlu digunakan untuk kritikan yang membina sahaja. Sebarang teguran peribadi seeloknya disimpan.
8. Peluang keemasan untuk belajar dan berubah
Meeting merupakan elemen penting dalam operasi sesebuah organisasi. Platform ini memberi peluang kepada pekerja untuk memahami struktur dan ekosistem organisasi, meningkatkan kemahiran kolaborasi serta mempelajari pendekatan yang berkesan dalam mengurus dan bekerjasama bagi mencapai objektif yang telah ditetapkan.
9. Peringatan bahawa anda tidak berjuang keseorangan
Di sebalik bebanan kerja yang berat, team meeting adalah satu bentuk psikologi visual yang mengingatkan diri anda bahawa anda adalah sebahagian daripada sebuah pasukan yang besar. Anda tidak memikul bebanan syarikat secara bersendirian.
Rumusan
Team meeting yang berkesan bukan hanya tertumpu kepada pembentangan yang panjang, tetapi berfungsi sebagai medium untuk menyelaraskan idea, memperkukuh kerjasama dan membina semangat pasukan bagi menyokong kejayaan organisasi.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat anda.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan.
