Malaysia Laksana Perintah Kawalan Pergerakan Mulai Esok

Malaysia Laksana Perintah Kawalan Pergerakan Mulai Esok

Posted by
Peningkatan mendadak kes Covid-19 mendorong Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu di seluruh negara, mulai esok hingga 31 Mac. 
 
Tindakan drastik yang dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 itu bertujuan memulihkan keadaan secepat mungkin sekali gus mencegah penularan baharu wabak yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat. 
 
Perintah Kawalan Pergerakan itu meliputi :
 
1. Larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. 
  • Untuk menguatkuasakan larangan ini semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian. 
  • Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020.
2. Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. 
  • Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela selama 14 hari.
3. Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara. 
 
4. Penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti.
 
5. Penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara.
 
6. Penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.
 
 
Situasi semasa ancaman wabak Covid-19 bukan sahaja menimbulkan kebimbangan di Malaysia, malah di seluruh dunia. Setakat semalam, wabak Covid-19 telah merebak di 135 buah negara dengan seramai 162,711 orang disahkan positif jangkitan itu manakala sejumlah 6,443 orang dilaporkan meninggal dunia.
 
Di Malaysia, kes Covid-19 meningkat secara mendadak daripada 190 kes kelmarin, disusuli 125 kes baharu semalam, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti wabak itu adalah seramai 553 orang. Daripada jumlah tersebut, seramai 511 orang sedang dirawat di hospital manakala 42 orang telah pulih.
 
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas Covid-19 malam tadi berkata, kerajaan memandang serius situasi semasa ancaman virus berbahaya itu terutama perkembangan gelombang kedua yang berkemungkinan meragut nyawa rakyat negara ini.
 
Bagaimanapun, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak panik, cemas dan sentiasa bertenang di samping percaya dengan langkah-langkah sekatan pergerakan yang dilaksanakan itu mampu menyekat penularan wabak dalam masa terdekat sebagaimana pendekatan diambil China. 
 
Untuk sebarang pertanyaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan, hubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara di talian 03-88882010 bermula pukul 12 tengah hari ini. 
 
Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah. Ikuti Jobstore.com untuk  pelbagai peluang pekerjaan dan informasi terkini di Malaysia.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *