Pemilihan makanan seimbang dan berkhasiat amat dititikberatkan pada bulan Ramadan bagi memastikan anda kekal cergas ketika berpuasa. Apatah lagi dalam situasi semasa wabak COVID-19 yang masih belum pulih ini, adalah penting untuk anda sentiasa menjaga kesihatan diri dan mengamalkan pemakanan sihat.
Berikut kami kongsikan 6 tips mudah untuk kekal sihat semasa Ramadan terutama bagi golongan yang perlu keluar bekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Jangan tinggalkan sahur
Amalan bersahur amat penting untuk membantu menambahkan tenaga sepanjang seharian berpuasa. Makan hidangan berasaskan karbohidrat kompleks seperti nasi, roti atau biskut mil penuh dan oat di samping pengambilan protein dan serat.
Elak makan berlebihan semasa berbuka
Berbuka secara bersederhana dan jangan makan berlebihan bagi mengelakkan ketidakselesaan pada perut. Mulakan dengan buah kurma kerana ia mengandungi fruktosa yang boleh memberi tenaga segera. DI samping itu, pelbagaikan pengambilan jenis makanan berdasarkan Piramid Makanan.
Jauhi makanan bergoreng/ pedas
Pengambilan makanan bergoreng tidak digalakkan semasa berbuka kerana sukar untuk dicerna di samping berisiko menyebabkan perut kembung atau pedih ulu hati. Makanan pedas dan berempah pula dikhuatiri akan membuatkan perut tidak selesa dan cirit-birit. Antara menu tanpa minyak yang boleh dimasak di rumah ialah singgang, kerabu, ikan bakar dan kukus.
Minum air secukupnya
Minum air sekurang-kurangnya 6 hingga 8 gelas sehari. Elakkan minuman bergula seperti kordial, air berkarbonat dan minuman berkafein. Selain itu, tingkatkan pengambilan air melalui makanan seperti sup, bubur dan puding.
Buah-buahan, sayuran
Buahan-buahan dan sayur-sayuran membekalkan vitamin, mineral dan serat. Boleh diambil semasa sahur, berbuka dan moreh.
Bersenam
Berpuasa bukan alasan untuk anda membataskan aktiviti fizikal dan senaman. Bagi yang duduk di rumah, amalkan senaman ringkas seperti tekan tubi, squat atau plank.
Amalan pemakanan sihat bukan sahaja dapat mengekalkan kecergasan tetapi dalam masa sama mampu mengurangkan berat badan. Layari Jobstore.com untuk pelbagai informasi terkini mengenai pekerjaan di Malaysia dan topik-topik trending.