Stres atau tekanan adalah tindak balas emosi, fizikal dan mental akibat perubahan sesuatu keadaan yang berlaku dalam kehidupan harian manusia. Stres terdiri daripada beban, keletihan, kebimbangan, konflik, panik, kemurungan dan tidak bermaya.
Punca utama stres sering dikaitkan dengan masalah kehidupan yang terjadi seperti masalah peribadi, masalah di tempat kerja dan lain-lain. Stres bukan sahaja boleh menjejaskan kualiti kehidupan seseorang, malah orang sekeliling seperti keluarga dan kawan rapat juga boleh terkena tempiasnya.
Jika tidak ditangani dengan betul, stres boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit dan boleh beri kesan buruk terhadap tubuh badan anda. Berikut kami kongsikan antara bahaya stres yang mungkin berlaku kepada anda sekiranya anda tidak pandai mengurus stres dengan baik:
1. Sakit kepala
Sakit kepala akibat stres atau tertekan dikenali sebagai sakit kepala akibat pengecutan otot yang berlaku daripada tekanan emosi atau ketegangan fizikal. Ia lebih kerap dialami oleh golongan wanita berbanding dengan golongan lelaki.
Sakit kepala ini boleh berlaku sekali atau berulang-ulang dalam seminggu bergantung kepada tahap emosi mereka yang mengalami stres.
Untuk mengurangkan rasa sakitnya, anda boleh cuba untuk beriadah dan bersenam agar saluran darah berkembang dan darah dapat mengalir dengan lancar. Jangka masa bersenam yang bersesuaian juga dapat mengurangkan stres sama ada dari segi fizikal mahupun mental.
2. Emosi tidak stabil
Stres yang keterlaluan boleh menyebabkan emosi seseorang menjadi tidak stabil. Mereka yang mengalami stres tidak mampu menyelesaikan masalah walaupun ia hanyalah masalah kecil. Selain itu penderita juga akan sering rasa cemas dan mudah risau tentang perkara-perkara kecil.
Mereka yang menghadapi stres akan mudah berasa kecewa dan mudah marah. Kesan ini bukan sahaja boleh memberi impak negatif dalam pekerjaan, malah hubungan dengan rakan dan keluarga juga boleh terjejas disebabkan emosi yang tidak stabil.
3. Sering lupa dan sukar untuk fokus
Stres boleh menyebabkan seseorang lupa dan sukar untuk fokus. Apabila stres, seseorang itu akan hilang fokus dan sukar memberi tumpuan terhadap perkara lain yang terjadi di sekeliling mereka.
Masalah ini bukan sahaja memberi impak negatif terhadap kehidupan seharian, malahan prestasi kerja mereka juga akan terjejas.
4. Insomnia
Insomnia adalah gangguan yang menyebabkan penderitanya mengalami kesukaran atau tidak dapat tidur dengan baik dan akan mengalami keletihan pada hari berikutnya.
Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada insomnia, namun salah satu punca insomnia adalah stres. Apabila stres, otak manusia akan lebih aktif daripada biasa. Mereka yang menghadapi stres tidak boleh berhenti berfikir walaupun pada waktu di mana tubuh badan mereka sepatutnya berehat.
5. Sakit jantung
Stres akan menyebabkan jantung tidak berfungsi dengan normal. Pakar kesihatan mendedahkan stres adalah faktor utama golongan muda maut akibat serangan jantung.
Stres dalam golongan orang muda kebiasaannya disebabkan pekerjaan, kewangan, hubungan sesama rakan dan masalah persekitaran. Masalah ini akan menjadi penyebab kepada stres dan ia adalah bahaya.
Sekiranya stres dibiarkan tanpa diubati dalam tempoh lima hingga 10 tahun, seseorang pesakit akan berdepan dengan kesannya.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat anda.
Bacaan lain: 6 Tanda Anda Sedang Stres
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!
Hanis Izzatul, is a digital writer who writes about careers, lifestyle, and current trending content to engage Malay readers, informing them about the latest trends happening around. Hanis also are into arts, music, film, and gigs.
Reach me at hanis@jobstore.com