Jangan Ambil Mudah Tentang Kesihatan Mental Di Tempat Kerja!

Jangan Ambil Mudah Tentang Kesihatan Mental Di Tempat Kerja!

Posted by

Kes-kes psikososial (mempunyai hubungan dengan kesihatan mental) di tempat kerja yang dilaporkan masih kecil berikutan tahap kesedaran yang rendah, namun ia tidak seharusnya dipandang mudah.

Menurut Naib Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Manivanan Gowin, stigma ‘orang gila’ sering dikaitkan dengan individu yang berhadapan dengan masalah kesihatan mental ini.

Manivanan berkata bahawa isu psikososial di tempat kerja merupakan isu global yang memberi impak besar terhadap produktiviti organisasi dan pembangunan modal insan, selain merupakan isu utama dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerja dan ia wajar diberi perhatian serius.

Menurutnya lagi, majikan sama ada sektor awam mahupun swasta dinasihatkan agar meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental di tempat kerja terutama dalam mengenal pasti simptom dan menyalurkan bantuan awal.

Berdasarkan statistik Penyakit Pekerjaan Negara tahun 2022, hanya satu kes psikososial dilaporkan sepanjang tahun lepas berbanding penyakit pekerjaan lain seperti gangguan pendengaran sebanyak 5,478 kes.

Penyakit lain termasuk muskuloskeletal (678 kes), penyakit disebabkan ejen biologi seperti jangkitan kuman (420 kes), penyakit disebabkan ejen fizikal seperti terjatuh (339 kes), keracunan (185 kes), penyakit paru-paru (20 kes), penyakit kulit (15 kes) dan lain-lain penyakit (6 kes).

Menurut Manivanan, isu kesihatan mental sebenarnya melibatkan semua lapisan masyarakat dan perlu ditangani segera dengan sokongan semua pihak. 

Aktiviti-aktiviti sosial yang dijalankan secara gotong-royong di tempat kerja perlu digalakkan kerana ia mampu mengurangkan masalah berkaitan kesihatan mental selain membantu usaha kerajaan merapatkan hubungan antara kaum.

Isu psikososial ini penting kerana masalah kesihatan mental yang membebani sebahagian masyarakat dipercayai antara penyumbang kedudukan Malaysia dalam senarai Laporan Kegembiraan Dunia 2024.

Dalam laporan tersebut, Malaysia menduduki tangga ke-59 iaitu turun empat tangga berbanding tahun 2023. Singapura di kedudukan ke-30 sementara Filipina di tempat ke-53 dan Thailand (58).

Disebabkan itu, sokongan daripada majikan sangat penting bagi memastikan inisiatif yang diperkenalkan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) untuk menangani isu tersebut menerusi NIOSH mencapai objektif.

Untuk makluman, pada 19 Februari lalu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong melancarkan modul latihan baru NIOSH iaitu Pertolongan Cemas Kesihatan Mental Pekerjaan (OPFA) selain mengumumkan peruntukan RM12 juta untuk NIOSH melatih 10,000 peserta secara percuma.

Inisiatif tersebut diperkenalkan bagi melatih pekerja agar mampu memberi pertolongan awal untuk rakan sekerja yang mengalami tekanan psikologi di tempat kerja.

Artikel berkaitan: Bahaya Stres Terhadap Kesihatan Mental Dan Fizikal

Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan.

Sumber: Sinar Harian

Hanis Izzatul, is a digital writer who writes about careers, lifestyle, and current trending content to engage Malay readers, informing them about the latest trends happening around. Hanis also are into arts, music, film, and gigs.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *