Menurut Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE), seorang pekerja bank telah dipecat hanya dua bulan selepas membuat laporan polis berhubung dakwaan gangguan seksual oleh pegawai atasannya.
Artikel berkaitan: Dipecat Gara-Gara Pakai Rantai Salib, Warganet Gesa Pekerja Ini Tuntut Keadilan
Memetik laporan FMT, kes ini telah menjadi satu isu panas apabila kesatuan pekerja menuntut agar wanita tersebut diambil semula bekerja serta permohonan maaf rasmi daripada pihak bank kerana gagal menyediakan persekitaran kerja yang selamat.
J Solomon, Setiausaha Agung NUBE menyuarakan kekecewaan terhadap cara bank berkenaan mengendalikan kes gangguan seksual melibatkan pekerja mereka.
“Bank sepatutnya memberi sokongan penuh kepada mangsa yang telah berani tampil ke hadapan. Namun, bank ini telah merampas mata pencariannya dan merendahkan maruahnya,” kata Solomon dalam kenyataannya.
Mangsa yang merupakan seorang juruwang bank telah diberhentikan pada 30 Oktober setelah digantung kerja sejak Ogos.
Bank mendakwa mangsa gagal hadir dalam satu sesi temubual siasatan.
Solomon menyatakan bahawa mangsa sebenarnya mahu melalui proses tersebut dengan bank dan kesatuan selepas melaporkan kejadian itu pada Oktober 2021.
Malangnya, tiada tindakan diambil sejak laporan dibuat.
Solomon sebelum ini mendakwa pihak bank enggan bertemu untuk berbincang bagi menyelesaikan isu ini.
Pada Ogos lalu, kira-kira 120 ahli kesatuan pekerja telah mengadakan piket aman di luar sebuah bank di Bercham untuk menyuarakan sokongan kepada mangsa serta mendesak bank bertindak segera.
Menurut Salomon, piket tersebut diadakan sebagai langkah untuk meningkatkan kesedaran awam dan menuntut keadilan bagi mangsa.
Pada 4 Oktober, seorang pegawai bank berusia 52 tahun telah dihadapkan ke mahkamah majistret Ipoh atas tuduhan menghantar mesej lucah melalui WhatsApp kepada mangsa, seorang wanita berusia 38 tahun, pada 2021.
Suspek bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin.
Kes ini telah mencetuskan perbincangan hangat tentang keselamatan dan hak pekerja, terutamanya wanita di tempat kerja.
Orang ramai kini memberikan sokongan terhadap tuntutan persatuan agar pihak bank bukan sahaja menerima semula mangsa bekerja, tetapi juga memohon maaf secara rasmi sebagai cara untuk menebus kesalahan mereka dalam gagal melindungi pekerja.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!